Mama dan papa
Aku telah dilahirkan sebagai anak kepada pelukis terkenal Iskandar Salleh. Dan aku akan terus diingati sebagai anaknya sampai bila-bila.Sejak dari mula lagi papa telah memahami perasaanku sebagai anak seorang manusia yang terkenal. Bahawa sejak aku dilahirkan lagi setiap jejak kehidupanku akan diwartakan dan akan dibandingkan dengan dirinya. Papa semestinya faham, kerana dia sendiri adalah anak kepada bekas peguam terkenal yang kini sedang menyambung nadi perniagaan yang telah ditinggalkan oleh moyangku dahulu.
Tidak ada yang istimewa yang aku boleh ingati tentang kelahiranku. Walaupun kata mama, semua yang melihatku telah mengatakan bahawa aku seorang bayi yang comel. Yang sempurna sifat-sifatnya. Cantik.
Aku berdarah kacukan. Satu perkara yang tidak pernah aku minta, kerana sejak aku dilahirkan, aku mahu kelihatan seperti papa—berkulit sawo matang dan berwajah Melayu asli.
Mama telah menyayangi papa kerana papa adalah papa.
Dan aku mahu menjadi sepertinya.
Mataku cokelat, rambutku hitam. Kulitku pula putih, walaupun wajahku lebih kemelayuan. Tetapi belum cukup Melayu. Dan sudah tentunya belum cukup Perancis.
Aku anak kelahiran Melayu-Perancis. Mama berdarah Perancis. Dia tidak mahu aku melupakan tentang itu. Papa pula Melayu, dia juga tidak mahu aku melupakan tentang asal usulku. Dengan papa aku telah dibiasakan berbahasa Melayu. Dengan mama pula, menggunakan bahasa Perancis. Di dalam ingatanku, aku tak pernah berbahasa Perancis dengan papa atau berbahasa Melayu dengan mama. Kedua-dua dunia mereka telah aku jelajahi tanpa apa apa masalah.
Selama aku hidup, aku tahu bahawa banyak perkara yang telah berlaku kepada mama dan papa lama sebelum aku dilahirkan. Aku tahu mereka saling sayangmenyayangi di antara satu sama lain dengan apa yang telah mereka lalui bersama. Perkara-perkara yang mereka alami bersama hanya aku dapat fahami melalui lukisan-lukisan papa. Dan cerita-cerita yang aku dengar dari mereka dan datukku.
Menurut cerita datukku, papa telah bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis sejak dia kecil lagi. Datuk sering menyalahkan dirinya, kerana semuanya bermula ketika dia membawa papa bercuti ke London sewaktu papa kecil dahulu. Datuk telah membawanya ke National Gallery. Sejak dari pengalamannya melihat koleksi lukisan pelukis-pelukis agung di London, papa telah bertekad untuk menjadi seorang pelukis.
Kata datuk, papa telah jatuh cinta dengan seni lukis sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam National Gallery. Tatkala itu, papa berusia 7 tahun. Dengan mulut yang terlopong, dia telah memberitahu datuk bahawa dia ingin melukis secantik lukisan-lukisan yang dilihatnya.
Datuk telah mengatakan berkali-kali kepadaku bahawa dia sepatutnya membawa papa ke Wall Street sewaktu dia kecil dahulu. Jika tidak, sudah tentu papa kini menjadi seorang ahli korporat yang terkenal ketika ini. Atau sekurangkurangnya, mempunyai minat untuk mengambil alih perniagaannya.
Papa telah dihantar oleh datuk ke England untuk melanjutkan pelajarannya ke sana. Seperti dirinya dan kebanyakkan ahli politik yang kini memerintah Malaysia, datuk telah mengharapkan bahawa papa akan pulang ke Malaysia sebagai seorang peguam yang bertauliah dan seorang yang memahami cara yang terbaik untuk mengikat bow tie. Tetapi papa pulang ke Malaysia sebagai seorang pelukis…
Seorang pelukis bohemian.
Papa telah ke Paris setelah dia menghabiskan pengajiannya di dalam bidang undang-undang di University of Manchester. Kata papa, dia telah mengambil jurusan undang-undang di atas desakan datuk. Setelah dia telah cukup dewasa untuk mengambil keputusannya sendiri, dan setelah dia memuaskan hati datuk dengan segulung ijazah undang-undang, dia telah mengambil keputusan untuk terus berhijrah ke Paris lalu meneruskan cita-citanya untuk belajar seni lukis dengan lebih mendalam lagi.
Sepatutnya papa meneruskan pengajiannya di Lincoln’s Inn yang terletak di London, bukannya ke Paris. Kerana datuk ingin papa melanjutkan pelajarannya ke sana, kerana datuk pernah belajar di sana ketika dia muda dahulu. Tapi datuk tidak boleh berbuat apa-apa untuk menyekat kehendak papa…
Kerana papa adalah papa. Dan dia adalah seorang manusia yang degil dan keras kepala.
Menurut papa, datuk dan mereka dari generasi sepertinya yang mempunyai ijazah dari England, dengan loghat Inggeris mereka masih tebal dan keangkuhan yang telah mereka ambil dari golongan penjajah, sering memandang rendah kepada sesiapa yang tidak mengikut resmi dan acuan mereka. Mungkin kerana faktor inilah papa telah mengambil keputusan untuk tidak mahu dicap sebagai seorang peguam yang telah dididik di England, tetapi seorang pelukis yang telah dididik di Perancis.
Di Paris, papa telah diterima masuk untuk belajar di Ecole Nationale Supérieure des Beaux-Arts. Dan di situlah dia telah dipertemukan dengan mama. Bagiku, mama merupakan seorang manusia yang sukar untuk difahami. Mama suka berahsia. Dia juga seorang yang pendiam. Dia tidak banyak bercakap dengan orang lain kecuali denganku dan papa. Ramai yang mengatakan bahawa mama sombong orangnya; tetapi sebenarnya, mama lebih suka mendengar dari mengeluarkan pendapat.
Penjelasan yang terbaik yang boleh aku nyatakan tentang mama adalah; dia seorang Ahli Falsafah yang Pendiam. Dan kerana inilah jarang ada orang yang mahu berbual mahupun berkawan dengannya. Jika dia bercakap dengan orang pun, kata-katanya bernas dan tepat. Satu perkara yang aku rasa tidak begitu disukai oleh orang-orang dewasa. Kerana mereka lebih suka mendengar katakata yang lebih berlapis dan tersimpang jauh dari kebenarannya. Maka dengan itu, mama hidup di dalam alamnya sendiri. Alam yang aku rasa, telah dibinanya sendiri sejak dari kecil lagi.
Dan seperti mama, aku sendiri telah membina duniaku sendiri. Sebuah dunia penuh dengan khayalan dan majik. Di dalam dunia ini, aku adalah seorang ahli silapmata yang mempunyai pelbagai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang aku mahu. Di dalam dunia ini aku ditemani Bokbon, pembantu setiaku. Seekor musang kecil yang sentiasa ada bersamaku untuk melawan semua kuasa-kuasa jahat yang mahu memusnahkan dunia!
Si musang kecil… Aku masih lagi menyimpan patung musang kecilku yang telah mama buat dari kain di dalam bilikku. Mama telah menamakan musang kecilku itu dengan nama Bokbon. Katanya, ada sejenis binatang di Kelantan yang menyerupai seekor musang yang dipanggil Bokbon oleh penduduk tempatan.
Mama pernah melihat seekor bokbon melintasinya di sebuah kampung di Kelantan sebelum dia melahirkan aku dahulu.
Sejak kecil lagi aku dan Bokbon tidak boleh dipisahkan. Satu hari nanti, aku mahu bokbonku hidup di dalam dunia nyata lalu bersamaku menjelajah dunia ini…
Menurut cerita, (yang telah aku baca sendiri di majalah Paris Match tatkala majalah tersebut menampilkan satu artikel tentang papa dan lukisan-lukisannya) papa telah menemui mama sewaktu mama menjadi model di dalam kelas lukisannya. Aku telah menanyai mama tentang hal ini. Mama pada mulanya tidak mahu menceritakan hal tersebut kepadaku. Tetapi setelah aku mendesaknya, dia akhirnya mengalah.
-- Mama sebenarnya tak mahu jadi model.
Kata mama akhirnya seraya mengeluh panjang. Dia bercekak pinggang di hadapanku.
-- Jadi kenapa mama jadi model?
-- Kawan sebilik mama, auntie Monique sepatutnya jadi model. Tapi dia tak jadi pergi.
-- Kenapa ma? Dia sakit?
-- Dia menghadiri perhimpunan pelajar. Dia menjadi salah seorang ketua penunjuk perasaan yang mewakili fakulti undang-undangnya.
Auntie Monique pada ketika itu adalah rakan sebilik mama. Dia seorang penuntut di dalam bidang undang-undang di Sorbonne, manakala mama pula menuntut di dalam bidang biomedical engineering di Université Paris VI, (Pierre et Marie Curie). Sehingga kini mereka masih lagi saling berhubung. Malah, aunty Monique sudah dua kali ke Malaysia melawat kami di sini. Dan setiap kali aku ke Paris, kami pasti akan dibawa bersiar-siar olehnya.
Jadi mama telah menggantikan tempat auntie Monique sebagai model untuk kelas lukisan papa. Satu perkara yang aku pasti sukar untuk dilakukan mama, kerana datuk dan nenekku sebelah mama adalah penganut agama Katolik yang kuat kepercayaannya.
Mereka juga aku dapati lebih konservatif di dalam banyak hal dari datuk dan nenek sebelah bapaku sendiri.
-- Mama masih ingat lagi kepada peristiwa ini seperti ia telah berlaku semalam. Semuanya telah bermula pada awal bulan Mei tahun 1968…
Bulan Mei tahun 1968 adalah masa yang paling bererti buat mama dan papa. Tahun itu juga terkenal dengan rusuhan pelajar yang telah berlaku pada bulan itu. Kata papa, keadaan Paris terlalu gila pada waktu itu. Setiap kali kami ke Paris, dia pasti menunjukkan kepadaku kawasan Boulevard St. Germain yang telah menjadi pusat rusuhan para pelajar di Paris pada tahun itu.
Tempat papa belajar lukisan tidak jauh dari kawasan rusuhan. Jadi dia dapat melihat keadaan huru-hara di hadapannya sendiri. Tetapi yang penting bagi papa, pada waktu itulah dia mula bercinta dengan mama.
-- Kerana aunty Monique banyak menolong mama ketika mama susah... mama terpaksalah menolongnya. Selain dari menjadi pelajar sepenuh masa di dalam bidang undang-undang, auntie Monique juga telah bekerja sebagai model pelukis untuk menampung perbelanjaan persekolahannya.
Mama memberitahuku. Memang berbaloi setiap apa yang dilakukannya. Kerana kini auntie Monique adalah seorang peguam yang berjaya dan baru-baru ini dia telah dijadikan rakan kongsi sebuah syarikat guaman yang terkenal di Paris.
-- Setelah mama berfikir, mama rasa ada baiknya kalau mama tolong auntie Monique. Mama tak mahu dia dalam kesusahan semata-mata mama tak mahu menolongnya. Jadi, Mama paksa juga diri mama ni untuk pergi ke studio lukisan papa di Ecole Nationale Supérieure des Beaux-Arts. Inilah kali pertama dalam hidup mama menjadi model untuk pelajar-pelajar lukisan seperti papa.
-- Jadi model macam mana ni mama?
Aku sebenarnya sudah sedia tahu bahawa mama telah menjadi model bogel untuk kelas yang dihadiri papa. Perkara ini telah aku sendiri baca di Paris Match. Malah beberapa lukisan awal papa juga banyak menunjukkan keadaan mama tanpa seurat benangpun di atas tubuhnya. Padaku, semua yang aku lihat tentang kecantikan mama adalah sesuatu yang indah. Aku tidak pernah merasa kekok melihatnya begitu.
Dari apa yang aku ketahui dari papa, mama pada mulanya memang kekok ketika dia mula-mula masuk ke dalam kelas lukisannya. Muka mama pucat apabila disuruh oleh guru lukisan papa supaya membuka bajunya di tempat persalinan, lalu duduk di atas pangkin dikelilingi oleh sekumpulan pelajar lukisan yang ingin melukis dirinya. Sejak kali pertama papa melihat wajah mama, dia telah tertarik kepada kecantikannya. Lebih-lebih lagi apabila rakan-rakan sekelasnya telah mengatakan bahawa mama jauh lebih cantik dari model yang selalu mereka lukis, iaitu auntie Monique.
-- Mama menggigil pada waktu itu. Mama tak berani tengok pelajar-pelajar lukisan yang ada. Tetapi apabila mama mendongak, mama dapati papa sedang berada betul-betul di hadapan mama. Dia tegur mama. Dia tanya jika mama kesejukan. Mama kata tidak. Mama telah menggigil kerana rasa takut dan malu, dan bukan kerana sejuk. Kemudian papa telah menasihatkan mama supaya bertenang kerana dia sukar untuk melukis jika mama tidak senang duduk dan hanya tertunduk begitu.
-- Mama dimarahinya ke?
-- Biasalah papa kamu.
Mama tersenyum manis. Aku membalas senyumannya itu.
-- Kemudian apa yang terjadi ma?
-- Mama hanya merenung ke arahnya. Mama memang tak suka ditegur begitu oleh orang yang mama tak kenali. Entah mengapa, bila mama merenung ke arahnya, mama rasa tenang. Papa pula yang gelabah.
Mama termenung jauh ketika dia sedang memikirkan tentang pengalaman manisnya itu bersama papa. Dia menarik nafasnya panjang-panjang, kemudian dia melepaskannya. Dia merenung ke arahku yang sedang terbaring di atas katil. Dia mengusap-ngusap rambutku. Majalah Paris Match yang aku pinjam dari papa diambilnya dari tanganku.
-- Kenapa mama tenung muka papa lama-lama.
-- Kerana mama pada mulanya fikirkankan dia berasal dari kepulauan Pasifik.
-- Kenapa pulak mama?
-- Sebab uncle Georges sering bawa pulang gambar-gambar yang telah diambilnya sewaktu dia bekerja di kawasan itu.
Mama telah mengenali uncle Georges sejak dia bergelar pelajar lagi. Uncle Georges pernah menjadi professornya dalam bidang biomedical engineering di Université Paris VI. Kemudian, setelah mama berjaya mendapatkan ijazah sarjananya di dalam bidang yang diceburinya, mama telah mengambil keputusan untuk ke kepulauan Vanuatu untuk membuat kajian mengenai tanaman Pasific Yew dan beberapa tanaman yang lain yang boleh dibuat ubat penyakit barah bersama uncle Georges.
-- Lepas tu apa mama buat?
-- Bila kelas lukisan berakhir, mama salin pakaian. Lepas tu mama terus berjumpa dengan papa, lalu memberitahunya mama mahu berjumpa dengannya di Le Procope, sebuah cafe berdekatan. Papa kelihatan kebingungan bila mama terus keluar dari kelasnya.
-- Jadi, apa yang telah berlaku selepas itu ma?
-- Papa cari mama di Le Procope. Di sana kami duduk berbual.
-- Berbual pasal apa ma?
-- Pertama sekali mama tanya kepadanya jika dia berasal dari Tahiti. Dia ketawakan mama. Kemudian dia beritahu kepada mama bahawa dia berasal dari Malaysia. Pada waktu itu bahasa Perancisnya berterabur. Tapi dia sebolehbolehnya mahu bercakap dengan mama.
-- Lagi, apa yang dia cakap?
-- Dia kata dia rasa mamalah wanita yang paling cantik yang pernah dia lihat.
Mama ketawa kecil. Dia memandang ke dalam mataku, seolah-olah di situ terkandung segala cerita lama hidupnya. Bahawa akulah hasil dari ceritacerita lamanya itu.
-- Mula-mula jumpa, papa dah cakap macam tu kat mama?
-- Itulah papa kamu! Dan satu hari nanti, mama pasti kamu akan jadi sepertinya!
Papa memang seorang yang boleh menghargai kecantikan. Padanya, nilai-nilai estetika ada di mana-mana. Banyak kali dia telah memberitahuku tentang kecantikkan mama. Bagaimana dia telah terpegun melihat mama pada kali pertama dia menatap wajahnya. Papa menganggap mama seorang bidadari yang telah diturunkan ke bumi semata-mata untuk menjadikannya seorang pelukis yang berjaya. Itulah anggapan papa terhadap mama. Walaupun aku lihat mereka sering bertengkar, aku tahu papa menyanjungi mama dan meletakkannya di atas segala-galanya.
-- Bagaimana mama boleh terpikat kepada papa?
-- Kerana mama rasa dia ni lain dari yang lain. Mama dapat rasakan yang papa adalah seorang yang penyayang sejak dari kali pertama mama temui dia. Mama dapat rasakan keikhlasan hatinya bila mama bersamanya. Sebab itu mama jatuh hati dengannya.
Mama telah mula bercinta dengan papa pada bulan Mei 1968. Pada waktu itu keadaan di Paris kucar-kacir. Para pelajar Sorbonne memberontak kerana penutupan Universiti Nanterre. Universiti mama dan sekolah seni papa telah ditutup. Menurut papa, dia telah meminta mama menjadi model lukisannya pada masa-masa ini. Mama bersetuju, kerana pada waktu itu, mama ingin mengenali papa dengan lebih dekat lagi.
Dalam masa yang begitu singkat, mama dan papa terus berpasangan. Dari cerita yang aku baca di Paris Match, mama telah berpindah ke apartment papa pada bulan Jun 1968. Mama telah duduk dengan papa di situ sehinggalah tamat pengajian mereka pada tahun 1971.
Pada penghujung tahun 1971, mama telah menerima tawaran untuk bekerja dengan uncle Georges sebagai penyelidik di Kepulauan Vanuatu. Pada waktu itu, papa mahu mama mengikutnya pulang ke Malaysia lalu berkahwin secara sah dengannya. Mama pula mahu mengejar impiannya untuk menjadi seorang penyelidik. Papa pada mulanya merajuk. Tetapi akhirnya papa mengalah. Papa tidak boleh hidup tanpa mama disampingnya.
Papa, kerana terlalu sayangkan mama, telah menurut kehendak mama lalu mengikutnya ke kepulauan Vanuatu.
Maka pada tahun 1972, mama dan papa telah berhijrah ke Vanuatu dan menetap di pulau Malekula.
Pulau Malekula merupakan pulau kedua terbesar di dalam kepulauan Vanuatu. Pulau ini merupakan sebuah pulau yang popular di kalangan antropologis kerana kebudayaan megalitnya yang unik dan terpelihara. Di sini juga terkenal dengan orang makan orang yang langsung memperkenalkan Vanuatu ke mata dunia sebagai 'The Cannibal Islands'.
Aku dapat merasakan dari apa yang aku dengar dari papa dan mama, dari gambar-gambar yang mereka ambil serta lukisan-lukisan yang papa lukis, saatsaat mereka di Malekula merupakan saat-saat paling bahagia di dalam hidup mereka berdua.
Untuk menampung hidupnya tatkala di Malekula, papa telah melukis potret para pelancong yang datang melawat pulau itu. Selain itu, papa telah melukis beberapa siri lukisan yang langsung membuat dirinya terkenal pada hari ini.
Mama sering mengingatkanku bahawa mereka hidup di dalam keadaan serba kekurangan di Malekula. Tetapi hidup mereka bahagia. Mama terpaksa menampung perbelanjaan untuk bahan-bahan lukisan papa. Terutamanya apabila tiba musim tengkujuh dimana tidak ramai pelancong yang datang ke Malekula...
Masa papa dan mama menghabiskan hidup mereka di Malekula berakhir apabila projek kajian mencari ubat untuk penyakit barah yang telah diketuai oleh uncle Georges terpaksa diberhentikan. Projek kajian ini terbantut kerana pihak universiti kekurangan wang dan tidak mahu menampung kajian uncle Georges yang tidak berhasil itu.
Pada tahun 1976, papa telah membawa mama ke Malaysia. Pada tahun itu juga mereka telah berkahwin. Itupun di atas desakan datukku. Kerana dia tidak mahu papa terus hidup bersekedudukan dengan mama.
Jika diikutkan, pada mulanya keluarga papa tidak bersetuju dengan hubungan papa dan mama. Mereka mahu papa mengahwini wanita Melayu pilihan mereka sendiri. Tetapi mereka tidak pernah menafikan bahawa papa telah membawa pulang seorang wanita berbangsa Perancis yang cantik sebagai calon isteri. Dan mama pula telah berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang isteri yang baik dan seorang wanita yang tinggi budi pekertinya. Lama kelamaan, dengan hati yang terbuka mereka akhirnya telah menerima mama di dalam hidup mereka.
Di Malaysia, mama telah bekerja sebagai guru bahasa Perancis, walaupun dia telah dilatih sebagai seorang saintis. Mama telah meneruskan hidupnya begini semata-mata kerana dia mahu terus hidup bersama papa. Banyak yang telah mama korbankan demi cintanya kepada papa.
Mama yang sejak dilahirkan dikenali sebagai Daphne Allais, kini telah dikenali sebagai Dahlia binti Abdullah. Tetapi bagi papa, mama tetap dengan nama Daphne. Mama telah meninggalkan agama Katoliknya kerana papa. Satu perkara yang langsung tidak disukai oleh datuk dan nenekku di Perancis. Oleh kerana ini, mereka tidak mahu mengakui mama sebagai anak mereka sendiri.
Pada tahun 1977, Anwar Sadat telah dipilih oleh majalah Time sebagai 'Man of the Year'. Filem Star Wars pula telah dipertontonkan. Apple II telah diperkenalkan di pasaran dunia sebagai komputer peribadi pertama. Dan pada tahun ini aku telah dilahirkan. Tarikh kelahiranku telah dinanti-nantikan oleh papa dan mama.
Aku telah dinamakan oleh datukku sendiri. Sebagaimana dia telah menamakan papaku dahulu. Zaha membawa maksud sinaran di dalam bahasa Arab. Sememangnya, kelahiranku telah membawa sinar baru ke dalam hidup papa dan mama.
Datuk dan nenekku di Paris telah menerima mama kembali apabila mama membawaku berjumpa dengan mereka dua tahun selepas aku dilahirkan…

No comments:
Post a Comment