Popular Posts

ChatZONE

Powered by ShoutJax

Friday, 8 August 2014

#08 - E-NOVEL - POTRET #04



 Kemurungan

Menurut Toshio Shimizu, seorang pengkritik seni dari Jepun yang telah memperkenalkan karya-karya papa ke Jepun, gaya lukisan papa terus berubah setelah mama meninggalkan papa. Dari seorang pelukis realist, papa telah merubahkan gayanya kepada seorang pelukis surreal. Menurut Encik Shimizu, gaya lukisan surreal ini banyak menampakkan kesepian, kesedihan dan kepincangannya. Jauh berbeza dari lukisan-lukisan awalnya yang lebih ceria dengan warna-warna terang.

Kata papa, tujuan sebenar surrealismenya adalah untuk merapatkan jurang alam nyata dan alam fantasi di dalam sebuah karya seni. Di dalam karya surreal, alam fantasi akan digabungkan dengan dunia rasional.

Kata papa, mama sebenarnya bencikan apa-apa yang ketinggalan zaman. Mama mahu membuang apa-apa sahaja yang lama dan menggantikannya dengan yang baru. Mama sukakan kepada pembaruan. Dia hanya mahu yang terbaru sahaja. Mama lebih menghayati karya-karya seni pasca-modernisme dari karya-karya yang terdahulu darinya.

Maka papa telah berbalik kepada pergerakkan seni surreal yang mula bertapak sejak tahun 1920-an ini, semata-mata kerana dia tahu mama bencikan karyakarya surreal, yang telah dianggap mama, lapuk ditelan zaman.

Setelah mama meninggalkan mama, papa hidup di dalam dunia yang telah dilakarnya sendiri. Sebuah dunia yang tidak mampu aku fahami. Sebuah dunia surreal, gamaknya.

Mama telah mengambil keputusan untuk meninggalkan papa pada hari aku ternampak dia menangis di dalam biliknya. Aku masih keliru dengan apa yang telah berlaku pada hari itu. Tetapi aku masih mengingatinya seolah-olah ia baru sahaja berlaku semalam.

Pada hari itu. Aku telah menangis kerana melihat mama menangis di hadapanku. Tatkala dia menangis, aku telah menyapu air matanya. Aku telah membelai rambutnya itu dengan penuh rasa kasih. Aku mencium pipinya. Aku tahu ada sesuatu yang ingin mama bicarakan kepadaku, tetapi dia cuma diam.

Dia terus diam. Dia memegang Bokbon, patung kain yang telah dibuatnya sendiri ketika aku kecil dahulu. Dia mencium Bokbon, kemudian dia mencium aku semahunya. Buat pertama kali di dalam hidupku, aku mula dapat merasakan rasa sedih dan pilu di dalam jiwanya.

Pada saat itu, aku juga tahu mama mahu meninggalkanku, walaupun katanya, dia akan kembali mendapatkanku. Mama telah mencium pipiku, lalu dia terus keluar dari rumah dengan sebuah beg yang penuh dengan pakaiannya.

Sejurus selepas mama keluar dari rumah, aku terus mendapatkan papa di dalam studio. Aku dapat melihat keadaannya yang sedang marah dan di dalam masa yang sama, dia terkejut.

Dia memandang ke arahku. Dia sedang berdiri terpaku di tengah-tengah studio. Aku terus mendakap papa. Beberapa detik kemudian, papa telah menangis teresak-esak di dalam dakapanku.

Dan aku pula...

Aku terlalu keliru. Aku tak tahu apa yang telah berlaku sehingga membuat mama tiba-tiba meninggalkanku dengan papa. Aku rasa marah pada mulanya kepada papa. Aku marah kepadanya kerana telah membuatkan mama mahu meninggalkannya. Kemudian aku marah pula kepada mama. Aku marah kepada mama kerana tidak mahu membawaku pergi bersamanya. Lama-kelamaan rasa marahku itu aku tujukan kepada diriku sendiri. Kerana aku tidak pernah melakukan apa-apa untuk membuat mama dan papa bertenang ketika mereka sedang bergaduh.

Aku sedih melihat nasib yang telah menimpaku. Tapi apakan daya. Aku tak mampu melawan arus nasib. Aku hanya mampu mengadu nasibku kepada Bokbon dan bertawakal kepada Allah...

***

Papa terlalu sayangkan mama. Dia tidak faham mengapa mama secara tiba-tiba ingin meninggalkannya begitu sahaja lalu terus pulang ke Paris. Papa telah menyalahkan dirinya kerana menyebabkan mama meninggalkan kami.

Pada waktu inilah papa telah berhenti dari melukis. Lukisan potret keluarga kami telah papa tinggalkan begitu sahaja. Terbiar tak tersiap. Malah papa tidak memasuki studionya buat jangkamasa yang agak lama.

Di dalam masa dua tahun sebelum papa kembali melukis, banyak perubahan yang telah berlaku ke atas diri papa.

Papa berada di dalam keadaan kemurungan yang kronik setelah mama meninggalkannya. Selama ini papa terlalu bergantung kepada mama untuk hidup. Setelah mama tiada, dia merasakan hala tuju hidupnya tidak terlaksana. Seolah-olah separuh dari dirinya kini telah tiada lagi.

Dia merasakan bahawa separuh dari dirinya telah mati setelah mama meninggalkannya.

Papa sering mengurung jasad yang masih belum matinya itu di dalam kamarnya. Dia tak banyak bercakap. Dia sering termenung seorang diri. Kadang-kala aku akan melihatnya menangis seorang diri. Berat badannya jatuh dengan mendadak. Keadaan papa semakin teruk setelah enam bulan mama meninggalkannya. Lebih teruk lagi apabila papa mendengar berita bahawa mama kini telah mengadakan hubungan dengan Uncle Georges dan mama telah bercadang untuk bertunang dengannya.

-- Jangan kau anggap dia mama kau lagi! Tegas papa kepadaku.

-- Kenapa, pa?

-- Kerana dia perempuan yang tak bertanggungjawab!

-- Jangan cakap macam tu, pa.

-- Kau tahu sekarang ini… Bila kau dan aku ditinggalkannya, dia pergi bersuka ria dengan jantan lain.

-- Dia dengan Uncle Georges, pa…

-- Aku tahu! Dasar perempuan jalang! Tak perlu kau sebut nama jantan tua keparat tu!

Sehari selepas papa menerima berita ini, aku telah terjumpa papa terdampar di dalam bilik mandi dengan pisau cukur di tangannya. Dia terbaring di dalam tub mandi penuh dengan air merah. Lengan tangan kirinya berlumuran darah. Di atas lantai bilik mandi, banyak darah yang telah keluar. Mengalir lesu…

Memenuhi bilik mandi.

Di dalam seumur hidup aku, tidak pernah aku melihat darah begitu banyak. Papa telah cuba untuk membunuh diri…

PAPA!

Aku telah berlutut lalu menangis di hadapan papa. Aku telah memintanya supaya mengucap, lalu ingat kepada tuhan. Aku menyuruh dia memikirkan tentang diriku dan apa yang akan terjadi jika dia tidak ada lagi untuk menjagaku.

Papa menangis teresak-esak lalu memelukku.

Tatkala itu, dengan keadaan tangan dan lengannya penuh berdarah, dia telah memegang tanganku lalu diletakkan tanganku di atas dadanya. Dia menanyaiku jika aku merasakan apa-apa di situ. Di atas dadanya.

Aku menggeleng perlahan.

--Di sinilah letaknya hati yang telah hancur, Zaha.

Suaranya perlahan terketar-ketar. Hatiku sebak mendengarnya berkata begitu. Aku dapat melihat baju tidurku kini merah kerana telah dilumuri dengan darahnya.

-- Kenapa papa lakukan ini semua?

-- Dunia ini sudah hilang sinarnya, Zaha.

-- Jangan cakap macam tu, papa.

-- Papa memang tak berguna. Sebab itu mama tinggalkan papa. Papa lelaki dayus!

-- Zaha sayang dengan papa. Papa ada Zaha lagi. Zaha janji akan jaga papa. Zaha janji, pa!

Di dalam keadaan baju tidurku berlumuran darah, aku telah berlari keluar dari rumah, lalu terus aku ke rumah doktor Bala yang duduk selang beberapa rumah dari rumahku. Doktor Bala datang membantu lalu membawa papa ke kliniknya.

Doktor Bala telah menjahit luka pada lengan papa. Dan selepas itu dia menasihatkanku supaya terus menemani papa.

Sejak dari peristiwa itu, aku akan cuba menemani papa di mana sahaja dia berada.Di atas nasihat doktor Bala, papa akhirnya telah menjalani rawatan psikiatri.Doktor yang telah merawat papa telah memberinya ubat Lithium Carbonate. Selama di dalam rawatan, akulah yang telah memastikan bahawa papa memakan ubatnya.

Papa beransur pulih dari keadaan murungnya dengan bantuanku. Walaupun begitu, papa terus menyepikan dirinya dari dunia luar. Dia telah berhenti melukis selama dia berkeadaan begini. Pada masa ini juga dia telah mengambil keputusan untuk menjual segala lukisan yang mengingatkan dirinya kepada  mama. Lukisan-lukisan yang tidak dijualnya telah disimpan di dalam stor.

Termasuklah lukisan separuh siap potret keluarga kami yang sepatutnya menjadi hadiah harijadiku yang keduabelas tahun.

-- Papa patut siapkan lukisan saya pa…

-- Papa tak boleh… Papa tak mampu lagi untuk melukis.

Dan itulah penjelasan papa kepadaku.

Maka, harijadiku yang keduabelas tidak diraikan oleh sesiapapun pada tahun itu.

Seperti biasa, aku terpaksa menghabiskan masaku bersama Bokbon. Hanya dia sahaja yang ada untuk menemaniku pada harijadiku. Hanya dia sahaja yang memahamiku…

Keadaan murung dan sedih yang pada mulanya menyelubungi dirinya kini telah ditumpukannya kepada perasaan marah serta bencinya terhadap mama. Dia begitu marahkan mama sehingga dia tidak membenarkan aku bercakap dengan mama melalui telefon. Papa juga telah mengambil keputusan untuk akhirnya menceraikan mama.

Hubungan aku dengan mama hampir-hampir terputus jika tidak kerana jiran sebelah rumahku, Puan Lim yang dahulunya begitu rapat dengan mama. Dialah yang telah membenarkan aku menggunakan telefonnya untuk menghubungi mama yang sedang berada di Paris hampir setiap minggu.

Ketika aku sering berhubungan melalui telefon dengan mama, aku sering menanyainya kenapa dia telah meninggalkan papa. Tapi mama tidak pernah menjawab soalanku itu. Kata mama, aku tidak perlu memikirkan tentang itu semua, kerana perkara ini adalah diantara dirinya dan papa.

-- Mama masih sayangkan papa?

-- Mama tetap sayangkan papa sampai bila-bila.

-- Jadi mengapa mama tidak balik kepada kami. Mengapa keadaan tidak boleh kembali kepada sebelumnya?

-- Keadaan tak mungkin kembali kepada sediakala, Zaha.

-- Tetapi kenapa mama? Sebab sekarang mama bersama Uncle Georges?

-- Ya, kerana itu. Tetapi mama tidak meninggalkan papa sebab ini. Tetapi kerana—

Mama penuh berahsia. Tapi jauh di dalam hatiku, aku tahu ada sesuatu yang tak kena yang telah berlaku terhadap diri mama.

Mama juga akhirnya telah berkahwin dengan Uncle Georges. Mama telah meminta papa supaya membenarkan aku ke Paris untuk menyaksikan upacara perkahwinannya, tetapi papa telah melarang dengan sekeras-kerasnya.

-- Dah aku kata, dia bukan mama kau lagi!

-- Tapi pa, dia mama saya…

-- Dia akan kahwin di gereja… Kau paham?

-- Saya tahu pa. Tapi itu antara dia dengan tuhan.

-- Aku tak mahu kau terikut-ikut dengan dia nanti.

-- Saya tidak akan terikut-ikut pa! Saya orang Islam!

-- Aku takut kau akan terpengaruh juga.

-- Papa tak perlu takut tentang ini semua!

-- Sudah! Aku tak mahu berbincang mengenai hal ini lagi. Aku sudah buat kata putus! Kau tak akan pergi dan aku mahu kau anggap mama kau sudah lama mati!

Aku kecewa dengan sikap papa...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...